Skip to main content

Command Palette

Search for a command to run...

Pengalaman membaca falsafah

Updated
7 min read

Saya tertarik dengan satu artikel yang ditulis oleh Daniel Whistler, The Experience of Reading Philosophy. Artikel ini menceritakan pengalaman beliau membaca satu buku falsafah yang terkenal. Hal yang membuatkan pengalaman membaca ini menarik ialah beliau membacanya ketika sedang “off-duty”. Ini merupakan satu momen yang sangat berkait dengan hidup saya. Saya juga menganggap membaca secara bebas (bukan dalam konteks bekerja) adalah satu pengalaman yang menyeronokkan.

Daniel Whistler adalah seorang profesor bidang falsafah di University of London. Satu hari, beliau mengulang baca satu buku falsafah terkenal semasa sedang berhujung minggu. Buku tersebut ialah Critique of Pure Reason oleh Immanuel Kant.

Ini beliau ceritakan dalam satu perenggan seperti berikut:

I imagine (a far-flung idea!) that one weekend, at a moment of leisure free from all other obligations including any thoughts of research or teaching, I pick up Kant’s Critique of Pure Reason to read a few pages. This is not my first time reading it, but it is a book that has no immediate relation to any of my current research projects or classes, and so I will not be mining it for selective arguments, concepts or contexts, but just turning its pages because I hope I will enjoy doing so. I could of course have chosen some fiction or popular non-fiction, but I actually like (or remember liking) philosophy—even Kant! As far as is possible, my professional “reading self” is muted—I am “off duty”—and, instead, I desire to read a few pages of the Critique of Pure Reason “daring to behave like a deliberate amateur”.

  • Membaca semula dalam mod yang berbeza

Sebagai lulusan bidang linguistik, khususnya bahasa Melayu, saya juga banyak mengambil peluang untuk menjadi seorang “amateur” semula. Malah, saya pernah mencabar diri untuk membaca kembali buku-buku teks sekolah yang dulunya saya gagal.

Contohnya, saya pernah gagal subjek sejarah dalam O-Level. Jadi, saya kembali mencari buku teks subjek tersebut untuk dibaca, adakah kefahaman saya sekarang telah menjadi lebih baik berbanding di sekolah? Adakah betul subjek itu susah sangat sampai saya tidak mampu lulus langsung dulu?

Saya mencarilah buku teksnya. Seingat saya, zaman saya sekolah dahulu, subjek sejarah O-Level mempunyai dua pilihan, pilihan A dan pilihan B. Pilihan A merangkumi sejarah abad ke-19, manakala B pula abad ke-20. Kalau saya masih ingat, saya dulu mengambil pilihan B, iaitu abad ke-20, cerita tentang kejatuhan Turki Uthmaniyah, perang dunia pertama, perang dunia kedua, perang dingin dan lain-lain.

Kali ini, saya membaca buku teks semasa zaman sekolah dahulu dalam mod yang berbeza. Saya sekarang sudah dewasa, baru saja melepasi pembentangan akhir Sarjana (Master). Tambah lagi, saya sekarang bukan membacanya dalam keadaan hendak menduduki peperiksaan akhir O-Level, tetapi seorang dewasa yang hanya mahu “melawat” semula jejak-jejak yang pernah ditinggalkan.

Saya menyesal kerana tidak belajar bersungguh-sungguh dulu. Kalaulah saya berjaya memperoleh keputusan yang baik dalam O-Level, mungkin hari ini saya sudah berada di UK melanjutkan pengajian. Tak apalah, ini boleh dijadikan pengajaran untuk saya supaya mendidik anak-anak pula. Mereka perlu ada kesedaran penuh tentang masa depan, jangan jadi seperti saya dulu yang hanya banyak main.

Ketika itu, saya fikir, aktif di luar tanpa prestasi akademik boleh membawa saya pergi jauh kerana saya menganggap akademik ini tidaklah terpakai di dalam dunia realiti. Walhal, ini semua saling berkait. Sukan pun ada teori dan akademiknya. Teknologi apatah lagi. Perniagaan, pun sama, kalau tidak ada orang-orang yang “membaca” ini mengkaji tentang trend perniagaan sekarang, mana mungkin syarikat-syarikat gergasi boleh terus mengungguli dalam “pertempuran” antarabangsa.

Ini sudah masuk cerita lain, saya tidak mahu membahasnya di sini. Anda cari sajalah berapa ramai profesor terhandal dari universiti-universiti terkemuka yang banyak menyumbangkan kajian mereka kepada korporat. Jadi, jangan cakap profesor-profesor ini hanya “berteori” sahaja.

  • Membaca untuk mendalami secara peribadi, bukan untuk menghadapi peperiksaan akhir

Adakah anda masih ingat, antara kursus wajib yang semua orang perlu ambil di universiti ialah kursus Pengajian Islam. Buku teksnya berwarna biru, ingat lagi?

Saya mengambil kursus ini ketika di zaman diploma di USAS dulu. Beberapa tahun kemudian, ketika sedang mengemas bilik, saya terjumpa buku teksnya. Tergerak pula hati untuk membaca dan kali ini bukan sebagai mahasiswa yang aktif lagi, tetapi sebagai orang biasa yang ingin tahu tentang kandungan ilmu buku tersebut.

Wah, ternyata banyak manfaat daripada buku itu!

Dulu, saya hanya membaca bahagian-bahagian yang pensyarah beritahu “masuk peperiksaan” sahaja. Sedar atau tak sedar, saya telah terlepas daripada pelbagai mutiara pengetahuan yang boleh mengubah hidup saya ke arah yang lebih baik. Alangkah ruginya!

Selain kursus ini, ada juga kursus TITAS. Kursus ini sangat menyeronokkan kerana pensyarah-pensyarah biasanya akan mengadakan program sebagai tugasan akhir kursus. Ada program kebudayaan, ada program Islamik dan sebagainya.

Tidak ada masalah untuk berprogram, tetapi yang paling penting ialah pengisian ilmu itu. Jangan beli saja buku mahal-mahal, tetapi isinya tidak langsung dikunyah sampai habis. Buat rugi duit, masa dan tenaga sahaja!

Jadi, pengalaman saya mengulang baca buku teks lama yang dulunya saya anggap tidak penting dan hanya wasilah untuk melepasi peperiksaan sahaja, tetapi tanggapan itu tidak betul sama sekali. Ternyata, terlampau banyak manfaat yang boleh diperoleh sekiranya kita membaca buku itu dengan niat belajar untuk kebaikan diri.

Justeru, saya bertaubat daripada memandang rendah kepada satu sumber ilmu, iaitu buku teks. Selepas ini, saya akan sentiasa membaca dan mengulang bacanya sehingga lumat. Kemudian, aplikasikan apa yang dibaca ke dalam kehidupan nyata.

Ini juga disebut oleh Whistler sebagai reading as action, membaca sebagai satu lakuan dan membaca itu pastinya (atau semestinya) menghasilkan tindakan.

Kesan membaca falsafah

Whistler menulis:

That is, doing philosophy typically requires doing some reading (even if the amount and type of reading varies) and this reading process can be exciting, frustrating, surprising, boring, exhilarating, galling, gripping, dispiriting, even fun. It can also be transformative and informed by a sense of discovery: it can seduce us, resonate with us, alienate us, reprimand us and make us care about many new things (including the text in front of us).

Walaupun konteks pembacaan yang dibawa oleh Whistler ini ialah falsafah, tetapi saya kira setiap orang membaca apa sahaja pun pasti akan memperoleh kesan yang tersendiri.

Saya sendiri, selepas membaca buku-buku teks yang dulunya saya anggap tidak penting, bahkan gagal dalam peperiksaan akhirnya, saya mendapati, buku-buku tersebut mengajar berbagai-bagai hikmah sekiranya saya memberinya peluang untuk “mendidik” saya. Tetapi, dengan tanggapan yang negatif datangnya dari saya sendiri, maka berjuta hikmah pun tidaklah berguna.

  • Membaca sebagai aktiviti mentafsirkan

Kata Whistler, selain membaca sebagai satu lakuan atau dorongan untuk bertindak (mengamalkan dsb), membaca juga bertujuan untuk mentafsirkan. Ini adalah bergantung sepenuhnya pada intelek. Jadi, untuk memperoleh tafsiran yang benar, seseorang itu haruslah mampu berbahasa intelek. Ini disuarakan oleh seorang ahli falsafah, Nussbaum berkenaan pencarian kebenaran.

Kata Nussbaum dalam Love’s Knowledge: Essays on Philosophy and Literature:

…a discourse that claims to search for truth and impart knowledge must speak in the language of the intellect.

Beliau berkata sedemikian kerana menurutnya, perasaan adalah tidak diperlukan dalam usaha mencari kebenaran, umumnya membaca sebagai aktiviti untuk mendapatkan kebenaran atau memperoleh kefahaman jitu tentang realiti.

  • Membaca sebagai satu lakuan atau membuahkan lakuan

Socrates tidak menulis falsafahnya, tetapi beliau hidup dalam falsafahnya itu. Untuk kita yang masih sedang mendalami ilmu hikmah ini, janganlah lupa untuk “hidupkan” apa yang dipelajari. Ini peringatan untuk diri saya khususnya.

Akhir: Mendalami satu gagasan

Satu kelemahan saya ketika membaca ialah saya tidak begitu mendalami satu gagasan yang saya baca. Ini penting kerana kefahaman yang mantap terhasil daripada berapa lama dan berapa dalam kita “bersama” dengan idea itu.

Jangan hanya membaca sepintas lalu, tetapi berhentilah seketika untuk merenung dan mengkaji. Contohnya, saya sekarang sedang membaca satu buku bantu diri yang popular, iaitu The Obstacle is the Way oleh Ryan Holiday. Saya membaca buku ini dengan sangatlah perlahan kerana saya fokus untuk mendalami satu satu idea yang ditulis.

Idea dikotomi kawalan. Idea ini sedap dibaca ketika seseorang sedang menghadapi suatu musibah. Tetapi, adakah dikotomi kawalan ini dapat berfungsi apabila kita menghadapi musibah yang berbentuk kezaliman? Bukankah kita harus melawan? Apakah pendirian Stoik tentang hal-hal yang seperti ini? Hal-hal yang memerlukan kita untuk berjuang? Tak akanlah semata-mata duduk diam dan “mengawal apa yang kita boleh kawal” sahaja?

Inilah contohnya, sekiranya kita membaca satu idea, akan timbul berbagai-bagai persoalan dan ini membawa kita kepada usaha-usaha yang lebih lanjut untuk lebih memahami satu idea tersebut. Kesannya? Kita akan membaca dengan lebih perlahan.

Tak apalah, perlahan-perlahan pun, kualiti kefahaman kita tinggi!